SELAMAT DATANG KE LAMAN WEB BAHASA MELAYU YANG TELAH DIMUATKAN BERBAGAI AKTIVITI PENULISAN , KAEDAH BACAAN DAN RANCANGAN PELAJARAN HARIAN UNTUK KITA KONGSI.

Kejayaanku

Selasa, 28 Ogos 2012

KEMAHIRAN MEMBACA(KAEDAH ABJAD)

ASAS MEMBACA DENGAN MENGGUNAKAN KAEDAH ABJAD 1.0 Pendahuluan Kemahiran membaca seseorang murid berkait langsung dengan kemampuannya memahami sesuatu bahan. Pelbagai maklumat dapat diperolehi dengan mudah dan cepat. Membaca melibatkan proses mekanis dan proses mental, di mana deria penglihatan dan alat-alat artikulasi bergabung menghasilkan aktiviti verbal dan literasi secara serentak. Kemahiran membaca itu sendiri perlu melalui dua proses, iaitu proses menterjemahkan lambang bertulis atau bercetak kepada bunyi bahasa dan proses mendapatkan maklumat atau makna daripada bunyi-bunyi bahasa yang disuarakan. Kaedah abjad dilihat sangat sesuai dan berkesan dalam mengajar asas membaca kepada kanak-kanak kerana kemahiran mengenal huruf dan membunyikan huruf diberi penekanan yang khusus. 1.1 Kaedah Abjad Kaedah abjad merupakan kaedah asas membaca yang paling awal digunakan dalam tamaddun manusia seperti pada zaman Greek dan Rom. Kemahiran membaca diajar kepada anak-anak mereka berasaskan kaedah abjad. Ini disokong oleh Zulkifley Hamid (1994) yang mengatakan bahawa kaedah ini sebagai kaedah klasik dan digemari oleh ramai guru yang mengajar membaca pada peringkat awal. Dalam kaedah ini, pengajaran bacaan dimulai dengan pengenalan huruf atau abjad yang diikuti dengan membunyikan huruf-huruf tersebut. Daripada cantuman huruf-huruf, murid-murid akan diperkenalkan pula dengan bunyi-bunyi atau suku kata yang digabungkan menjadi perkataan. Pengajaran membaca wacana akan dimulakan setelah murid menguasai bunyi-bunyi perkataan dalam ayat-ayat. Kaedah ini membolehkan mereka mengeja dan dapat membaca semua perkataan kerana asas pembacaan ialah bunyi setiap huruf yang membentuk perkataan tersebut. KAEDAH ABJAD PENGENALAN HURUF/ABJAD MEMBUNYIKAN HURUF CANTUMAN HURUF-HURUF/SUKUKATA-SUKUKATA PERKATAAN MUDAH Rajah : Aliran pelaksanaan kaedah abjad. 1.2 Konsep Kaedah Abjad Murid-murid diperkenalkan kepada 26 huruf yang ada, iaitu huruf a hingga z. Kemudian diikuti dengan aktiviti memperkenalkan huruf-huruf vokal iaitu a,e,i,o,u dan huruf-huruf konsonan yang mengandungi 21 huruf. Bagi membaca perkataan-perkataan, mereka perlu menghafal setiap lambang abjad. Dalam sistem bahasa Melayu huruf-huruf vokal mengeluarkan bunyi setelah bergabung dengan huruf konsonan. Contohnya ‘ca’, ‘ce’, ‘ci’, co, dan ‘cu’. Diftong terbentuk melalui gabungan ‘ai’, ‘au’ dan ‘oi’. Bunyi- bunyi tersebut disambungkan supaya menjadi suku kata, misalnya cu + ci = cuci. Kemudian mengenal rangkai kata , ayat dan seterusnya diajar membaca. Sebelum murid diajarkan membaca perkataan, nama-nama huruf perlulah dikenal pasti dahulu melalui latihan menyebut dan menghafal dari huruf a hingga z mengikut susunan yang betul. Dituruti dengan aktiviti mengeja suku kata dalam perkataan. Seterusnya guru mengaitkan gambar dengan sesuatu huruf, misalnya ‘a’ untuk ‘ayah’, ‘b’ untuk ‘buku’, ‘c’ untuk cawan dan sebagainya. Sebagai pengukuhan, guru juga boleh menyanyi lagu ABC. Lagu boleh dicipta sendiri atau lagu sedia ada yang boleh dimuat turun menerusi saluran media terkini seperti Internet. Kebiasaannya, guru akan menulis setiap huruf dalam buku tulis yang kadangkala memenuhi satu muka surat untuk satu huruf besar dan huruf kecil. Menerusi kajian yang telah dijalankan, kegagalan seseorang murid untuk mengenal huruf a,b,c...x,y,z mengikut susunan dalam abjad, akan melahirkan generasi murid yang tidak boleh membaca. Justeru, kaedah abjad menekankan murid untuk menghafal a,b,c...x,y,z sebelum mereka boleh diajar kemahiran membaca. Mengikut Zulkifley Hamid (1994) , kaedah abjad berpegang kepada prinsip bahawa setiap perkataan terdiri daripada beberapa huruf. Untuk membolehkan murid-murid membaca perkataan, mereka terlebih dahulu perlu diperkenalkan dengan huruf-huruf yang menjadi unsur-unsur. Ini bermakna, murid-murid perlu menghafal kesemua huruf-huruf tersebut sebelum didedahkan kepada peringkat membaca atau membunyikan cantuman huruf-huruf atau sukukata- sukukata. Setelah itu, murid-murid didedahkan pula kepada peringkat membaca perkataan-perkataan yang mudah, sebagai titik permulaan asas membaca. 1.3 Keberkesanan Kaedah Abjad Dalam Pengajaran Asas Membaca Menurut Zulkefli Hamid ( 1994 ), kaedah abjad berprinsip bahawa setiap perkataan terdiri daripada beberapa huruf. Murid-murid perlu mahir dan kenal akan huruf-huruf tersebut yang merupakan unsur-unsur perkataan bagi membolehkan murid-murid membaca perkataan yang berkenaan. Ini bermakna, murid-murid perlu menghafal nama-nama kesemua huruf yang ada sebelum meneruskan peringkat membaca perkataan yang senang dahulu. Umum bersetuju bahawa berdasarkan persekitaran sedia ada dan pengalaman setiap hari, seseorang murid memang telah biasa dengan visual yang berasaskan abjad. Samada dalam paparan iklan di media elektronik, media cetak atau di kain rentang sepanjang jalan ke sesuatu destinasi. Pengetahuan sedia ada murid mengenai sebahagian bentuk abjad dan bunyinya telah wujud dalam diri murid itu. Keadaan ini akan memudahkan guru untuk menanamkan kemahiran membaca mengikut kaedah abjad kepada murid. Kaedah abjad sangat relevan, serasi dan menepati dengan sistem Bahasa Melayu kerana terdiri daripada suku kata yang hampir tetap bunyinya. Keadaan ini memudahkan murid untuk terus mahir membaca dan tidak timbul kekeliruan yang akan merencatkan proses tersebut. Dengan kemahiran asas yang mantap dan binaan yang kukuh dalam aktiviti asas membaca akan menimbulkan satu motivasi diri yang positif dalam diri murid untuk terus memajukan kemahirannya. Murid yakin akan kebolehannya sendiri dan semakin cekap. Mereka dapat bersaing sesama sendiri dengan cara yang sihat dan minat untuk belajar semakin terbuka. Murid mampu untuk berdikari dalam membaca perkataan baharu, meskipun tidak pernah mempelajarinya kerana murid telah menguasai dan mengenal huruf serta mampu membunyikan vokal konsonan dengan lancar. Seterusnya, kita akan melihat bagaimana murid akan mendapat bonus atau kemahiran berganda menerusi kaedah abjad ini. Murid dapat meneroka dengan mudah kemahiran-kemahiran baru seperti kemahiran menggunakan kamus. Penggunaan kamus mudah, peringkat rendah yang sistemnya berpandukan turutan abjad menarik minat murid dan membolehkan mereka menambah kecekapan membaca dan menambah ilmu. 1.4 Langkah-Langkah Pengajaran Kaedah Abjad 1.4.1 Menyebut Nama Huruf Abjad a-z, Huruf Besar dan Huruf Kecil Guru menyebut nama huruf berkenaan dan diikuti dengan murid. Untuk tujuan pengukuhan, guru boleh juga mempelbagaikan persembahan dengan memperkenalkan terlebih dahulu urutan secara normal iaitu a-z, kemudian diikuti secara songsang iaitu z-a. Perkenalkan huruf kecil terlebih dahulu kemudian diikuti dengan huruf besar. Rasionalnya, huruf kecil lebih banyak digunakan dalam kehidupan seharian berbanding huruf besar. (i) Contoh aktiviti menyebut nama huruf kecil abjad a-z Arahan: Sebut nama huruf kecil di bawah ini. b Kad Huruf Kecil (ii) Contoh aktiviti menyebut nama huruf besar A-Z Arahan: Sebut nama huruf besar di bawah ini. B M Kad Huruf Besar iii) Contoh aktiviti menyebut nama huruf besar A-Z Arahan: Sebut nama huruf besar di bawah ini. B b M m Kad Huruf 1.4.2 Latihan menyebut suku kata V+KV Huruf V dalam simbol V+KV di atas adalah bermaksud huruf vokal. Terdapat enam jenis vokal dalam bahasa Melayu iaitu a, e (taling), e (pepet), i,o, dan u. Manakala K bermaksud huruf konsonan yang mempunyai 21 huruf. Dengan bimbingan guru, murid-murid membuat latihan menyebut suku kata V+KV. Huruf vokal : a e i o u Huruf konsonan : b c d f g h j k l m n p q r s t v w x y z i. Contoh aktiviti menyebut suku kata V+KV Aktiviti ini menggunakan kad perkataan yang dibina menggunakan kad keras yang berwarna supaya kelihatan menarik. Arahan: Sebut suku kata berikut. 1.4.3 Latihan Mengeja Suku Kata, Perkataan dan Frasa (i) Contoh aktiviti mengeja suku kata Arahan: Eja kemudian sebut suku kata. ba be be bi bo bu ca ce ce ci co cu da de de di do du fa fe fe fi fo fu (ii) Contoh aktiviti mengeja perkataan (iii) Arahan: Eja sukukata kemudian sebut perkataan KVKV. baba cuba dewa jaga baca cuci diri jaja badi cucu dosa jala bagi cina dobi jamu Carta Perkataan KVKV (iv) Contoh aktiviti mengeja frasa Arahan: Eja dan sebut frasa dengan kuat. = = 1.4.4 Latihan membaca ayat (i) Contoh aktiviti membaca ayat berbantukan gambar. Arahan: Baca ayat di bawah ini. (ii) Contoh aktiviti membaca ayat tanpa berbantukan gambar Arahan: Baca ayat di bawah ini. (i) Contoh aktiviti membaca petikan. Arahan: Baca ayat di bawah ini. Rumusan Kesimpulannya, kaedah abjad merupakan kaedah yang memberikan fokus kepada aktiviti menghafal abjad, proses pembentukan suku kata dan aktiviti mengeja. Usaha menghafal abjad dan membentuk suku kata ini bertujuan memudahkan murid-murid untuk mengeja perkataan ketika membaca. Dalam kaedah ini, murid perlu mengenal pasti nama-nama huruf terlebih dahulu melalui latihan menyebut dan menghafal dari huruf a hingga z mengikut susunan. Seterusnya diikuti dengan mengeja suku kata dan perkataan. Kegagalan murid-murid dalam mengenal huruf-huruf yang ada akan mengakibatkan kesukaran menjalankan aktiviti membaca kerana faktor asas masih tidak dapat dikuasai. Murid perlu mahir huruf dan dapat membunyikan huruf tersebut dengan betul. Untuk itu, aktiviti yang sesuai seperti latihtubi yang dijalankan oleh guru didapati sering membuahkan kejayaan dan menghasilkan celik huruf di kalangan murid-murid. Dengan ini, proses asas membaca dapat dijalankan dengan lancar. Maka, adalah tidak menghairankan apabila kaedah abjad ini masih terus digunapakai oleh guru-guru dari zaman dahulu, seawal zaman Greek dan Rom hinggalah sekarang. Ini membuktikan betapa pentingnya kemahiran asas iaitu mengenal huruf ditanam diminda murid-murid sebelum mereka meneroka kemahiran seterusnya yang lebih bermakna iaitu kemahiran membaca.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan